Thursday 31 May 2012

Perhentian

berlalu 
berlabuh seketika
keindahan teramat
tapi sampai bila disini


berlalu
singgah pada kekosongan
bakar semarak rasa
hangatkan malam-malamku
sampai bila api ini terus nyalaannya


berlalu
penuhkan ruang lohong 
isikan sudut-sudut terbiar
raikan kesunyian
namun pasti berakhir kecohan gelak tawanya


berlalu
semaraknya hampir padam
tiada lagi kehangatan
ruang-ruang mulai surut isinya
senyum tawa tiada lagi sejujurnya


berlalu
segalanya berlalu pergi
tiada lagi harapan menggunung
padam segala rasa
ini cuma perhentian
perhentian melepas gundah
perhentian seketika
cuma ...
perhentian...

Thursday 17 May 2012

Kebiasaan


Pada segala yang kau berikan
Terkesan dengan dalam di emosiku
Dalam setiap kata

Kau, sentiasa kau
Sehingga kini
Bersendirian telalu lama
Seperti aku, sampai kau yakin
Kau mampu bersendirian

Bukan kau memilih
Tapi menjadi kebiasaan
Kerna kesepian yang lama
Tidak pernah bawa sekuntum senyuman

Kehadiran kau disini
Hembusan angin berubah
Ia nyata mudah kelihatan
Dikala ia datang dengan rentak kita

Kau boleh dikejutkan oleh kehidupan ini
Pada setiap celahan-celahan halus
Tanpa pernah kau mampu bayangkan
Namun kau pasti temui kebahgiaan

Kini aku disini bersama mu
Kini aku tidak akan biar mu sendiri
Pohon aku agar diri mu kekal disini
Dan habiskan masa mu bersama ku
Terus habiskan sisi masa mu bersama ku

Ya, kini hanya dirimu
Dalam setiap angan dan rencana hidup ku
Dan dalam mainan dunia fantasi ku
Diri mu yang selalu dekat pada ku
Begitu dekat dengan ku
Menjadi sebahagian ku
Punya dalam diri mu

Laksana penuhan rasa pada lirik dan irama
Untuk lagu hidupku

Kesepian tidak lagi meragut diri mu
Keinginan untuk tersenyum
Mungkin tidak sekarang
Pasti kesempurnaan itu disini
Bila diri mu disisi ku

Untuk apa kerna diri mu lebih mengertinya
Untuk segala pemberian mu pada ku juga diri mu
Pada setiap cinta ringkas
Namun mendalam berbanding sebelumnya

Ini bukan lagi kebiasaan
Pada segala keindahan yang diberikan pada ku jua diri mu
Ia kebahgiaan takkala bersama mu
Sepanjang waktu yang diri mu mahukan
Pada jalinan waktu diri mu disisi ku
Untuk selamanya

Dan kini kita bersama
Kau dan aku
Bersama hanya kita berdua
Hanya kita berdua

Kita pasti tidak akan terpisah
Enggan melepaskan antara kita
Tiada lagi kesepian yang menyapa kita
Diri tidak akan pergi
Tidak akan…

Monday 14 May 2012

Mereka Yang Kau Endah

mereka pinta
kau endah
mereka utus perutusan
kau ramas lalu kau buang


mereka bersama kau halang
mereka duduk kau herdik
mereka berdiri kau terjah


kau jaja kata pembela rakyat
memanjat pentas menabur janji
kau jaja berjuang untuk rakyat
kau juga kesana kemari berkereta mewah
sedangkan rakyat berlapar kau tak endah


pada saat kata-kata itu hanya sampah
sekadar secalit manisan dihujung kata


mereka bangun bersuara sendiri
mereka bersatu menuntut hak
mereka laung janji yang kau kosongkan saja
mereka duduk bersama mohon kau berfikir


pada waktu kau tidak mampu berotak
akal kau entah ke longkang


kau nafaskan mereka dalam udara pemedih mata
kau belai mereka dengan telapak sapatu besi
kau dodoi mereka bersama kayu sehasta
kau dinginkan mereka curahan ganas peritkan kulit


bersuara kau kenapa melanggar perintah?
mereka bertanya mana janji kau dulu?


nyata kau endah mereka yang meletak kau ditempat teratas dulu
lalu kau kotorkan BERSIH yang mereka bawa